Wednesday, April 11, 2012

Puteri Saadong

~Bahagian Tiga~
Sebaik sahaja Puteri Saadong menawarkan diri untuk dimiliki oleh Raja Siam, serangan keatas Kota Mahligai dihentikan serta merta...masakan tidak hajat dan tujuan yang terpendam dan impian yang disangka telah terkubur kini termakbul. Sebuah angkatan besar ditubuhkan seakan sebuah angkatan perkahwinan, bersertakan gajah kenaikan besar membawa Puteri Saadong meninggalkan tanah Kelantan menuju pulang ke Siam. Diatas gajah itu Puteri saadong melemparkan pandangan kearah tanah tercinta demi korban serta kasih sayang terhadap rakyat jelata dan tentu khususnya kepada suami yang amat dicintainya, Raja Abdullah. Namun sumpah dan janjinya pemergiannya ke Siam bukanlah untuk selamanya tetapi baginda tetap akan kembali...itu janjinya.
Di Siam, setiap saat dan masa Puteri Saadong bermohon kepada Tuhan Yang Maha Esa agar dipeliharakan dirinya dari nafsu serakah Raja Siam yang tidak putus harap dan sentiasa mencari jalan untuk meraikan kejayaan menawan "kemenangannya" di Kota Mahligai. Kesuciannya hanya untuk dinikmati suami tercinta yang telah ditinggal jauh di Kelantan tetapi tanpa penat dan serik Raja Siam tetap cuba utnuk merampasnya dari Puteri Saadong.
Dan hinggalah pada satu peristiwa, nekad Raja Siam yang durjana itu membawa padah pada diri sendiri. Berkat ilmu yang diperturunkan serta diwarisi dari paduka bonda yang tercinta Almarhum Chik Siti Wan Kembang dan juga berkat doa yang tak putus jemu dipanjatkan kepada Allah Azzawajala, sewaktu Raja Siam sedang cuba meniduri puteri jelita itu, serta merta Raja Siam diserang penyakit sopak dan gatal-gatal yang melampau hingga menyebabkan kulitnya berdarah dan bernanah. Serta merta Raja itu meninggalkan kamar tempat baginda menawan Puteri Saadong.
Keadaan berlanjutan hingga Raja Siam itu terpaksa membawa perkara itu kepda nujum istana yang mana nujum telah membawa kesimpulan yang amat sukar untuk diterima. Kerana Daulat yang kukuh terpelihara pada diri Puteri Saadong, mengakibatkan punca penyakit yang sedang galak mengembang di badan Raja Siam itu. Hanya satu cara sahaja yang dapat menghentikan bencana itu iaitu dapatkan air basuhan kaki puteri itu dan ia akan menjada penawar pada racun yang sedang merebak.
Kepastian itu amat sukar untuk ditelan oleh Raja Siam, namun keadaan dirinya yang sangat darurat hinggakan baginda berasa malu untuk keluar menjalankan urusan negara akhirnya terpaksa menerima hakikat dia terpaksa menunduk kalah pada tawanannya. Pujuk demi pujuk, rayu demi rayu akhirnya Puteri Saadong akur tapi dengan bersyarat. Tinggalnya di Siam akan tamat setelah dia menyerahkan air basuhan kaki tersebut dan Puteri Saadong minta agar dihantar pulang ke Kota Mahligai, demi baginda terlalu rindukan tanah tempat tumpah darahnya dan yang paling penting mengotakan janji pada suami tercinta Raja Abdullah yang telah ditinggalkan setelah sekian lama.
Janji dikota dan Puteri saadong dihantar pulang ke Kota Mahligai. Tiada yang dirasa oleh puteri itu selain rasa syukur yang tinggi dan peluang untuk baginda melepaskan rindu nan membuak bakal termakbul. Impian untuk mengotakan janji kepada Raja Abdullah bukan lagi sekadar mimpi yang menghantui tidurnya setiap malam selama baginda terseksa di Siam. Namun siapalah kita manusia yang serba lemah jika dibandingkan dengan takdir Tuhan yang telah tertulis....
Bayangkan rasa yang bercambah dihati seandainya kepulangan yang sepatutnya diraikan dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran oleh sang suami, sebaliknya melihat suami yang dirindui telah mengambil langkah untuk berpaling dari janji. Patah hati Puteri Saadong melihat Raja Abdullah berada diatas singgahsana bersama isteri baru, Puteri Rokiah anak kepada Penghulu Ngah Jembal. Berlaku pertengkaran yang dasyat antara suami isteri itu dan akibat dari gagal menahan rasa amarah dan cemburu lantaran rasa diri dikhianati, Puteri Saadong mencabut pacak sanggul emas lantas menusuk ke perut suaminya. Lantas Raja Abdullah terjelepok jatuh di kaki tangga singgahsana kaku tidak bernyawa. Puteri Saadong lantas sedar dari lamunan rasa amarahnya namun apakan daya, perkara yang telah berlaku tidak lagi boleh ditarik balik.
Menyesali dan bertaubat atas ketelanjurannya, Puteri Saadong telah turun dari takhta kerajaan Kota Mahligai dan menyerahkannya kepada adinda kepada Almarhum Raja Abdullah, Raja Abdul Karim. Sementelah itu Puteri Saadong telah membawa diri meninggalkan Kota Mahligai dan menuju kearah Gunung Chinta Wangsa tempat persemayaman almarhum bondanya untuk mengasingkan diri dan menyerahkan diri kepada Allah Yang Maha Kuasa. Dan semenjak dari itu tiadalah lagi khabar diketahui tentang puteri jelita yang pernah menggugat keagungan kuasa seorang Raja dan juga yang amat dicintai oleh hambanya...Demikianlah diceritakan orang....