Tuesday, May 14, 2013

Tun Teja

 
Makam Tun Teja, Serkam Pantai,
Merlimau, Melaka
 
~ Bahagian Satu~
 
 
Kecoh suasana di istana melaka. Gempar dan amat mengejutkan! Tun Tuah, bentara kesayangan Raja Melaka itu telah dijatuhkan hukuman bunuh dengan cara salang oleh Raja Melaka sendiri. Seluruh isi istana membarisi sepanjang laluan dari pintu Balairong hingga ke jalan keluar istana hendak melihat Bandahara mengiringi bentara itu keluar dari istana ke tempat hukuman. Ada yang bersedih, namun tak kurang juga yang mengukir senyum. Hah! Anjing kesayangan raja itu bakal menerima nasib yang sepatutnya, mungkin itu yang yang terdetik di benak mereka. Pelepah kelapa yang selama ini begitu hampir ke pucuk kini gugur ke tanah jua. Hahaha....
 
Namun Bendahara melarang sekelian pengiring mengiringinya dan Tun Tuah ke tempat hukuman. Tak perlu katanya. Dan kedua mereka menyelusuri denai kecil hutan ke Hutan Kayu Ara di Hulu Melaka.
 
 Tun Tuah melutut. badannya direndahkan membelakangi bendahara yang telah mengeluarkan Keris Panjang lambang kuasa Raja itu, dan hulunya dipegang dengan kedua belah tangan, rapat ke dada dan matanya lurus ke bawah. Sebaik sahaja Tun Tuah mengucapkan syahadah, dia terdengar Bendahara melepaskan nafas yang panjang. Bukan tusukan keris panjang yang dirasai di atas bahu kirinya sebaliknya satu tepukan tangan yang perlahan. Bendahara menyatakan ada eloknya Tun Tuah tinggalkan sahaja Melaka ini dan pergilah keluarlah dari negeri ini. Sebab pada benaknya dia tahu yang Tun Tuah tidak akan membelakangi Rajanya. Ini semua angkara fitnah orang-orang istana yang dengkikan tun Tuah yang begitu disayangi oleh Raja sebelum ini. Sebagai tanda Tun Tuah telah dinuh, serahkanlah Keris Taming Sari dan keris itu akan diserahkan semula kepada baginda Raja.
 
Tun Tuah menunduk merenung tanah. Tangan Bendahara yang berselirat dengan urat itu masih dibahunya. Dia menunggu kata dari Tun Tuah. Bagi bentara yang masih muda itu terlalu berat untuk menerima cadangan dari Bendahara itu yang telah dianggap sebagai ayah sendiri itu. Sumpah setia kepada Raja Melaka yang pernah dilafazkan sebelum ini, dan kini dia sendiri akan memungkirinya. Tapi dia sedar, apa yang di ucapkan oleh bendahara itu adalah utntuk kebaikannya. Dan menjelang senja itu Tun Tuah mengucapkan selamat tinggal pada tanah Melaka yang tercinta.

Tapi takkan semudah itu untuk bentara muda ini melupakan sumpah setia yang telah termetri? Takkan semudah itu untuk dia meletakkan sumpah setia yang baru pada tuan yang baharu? Tidak! Lantas Tun Tuah terpandangkan satu peluang, mengingatkan satu peristiwa yang mana Raja Melaka pernah menghantar satu rombongan peminangan ke Pahang, kepada seorang puteri yang dikhabarkan teramat cantik dan menjadi sebutan orang terutamanya pedagang yang pernah berdagang ke Pahang, lantas khabar itu sampai ke Melaka sementelah Melaka adalah pusat perdagangan besar berbanding Pahang. Namun peminangan itu ditolak lantaran puteri itu telah ditunangkan dengan anak raja dari Terengganu. Sudah tentu persemendaan antara Pahang dan Terengganu sedikit sebanyak mengganggu gugat kedudukan Melaka...dan sudah tentunya Raja Melaka berasa bimbang dan kecewa kerana tidak dapat memiliki puteri yang cantik jelita untuk dijadikan Permaisuri, walau pun Raja Melaka telah pun beristerikan Tun Puteh Nur Pualam, anak Seri Amar Diraja dan juga Raden Galoh Candera Kirana, puteri Betara Majapahit.

Tun Tuah melihat akan keadaan itu satu peluang, peluang untuk dia mendapatkan kembali tempatnya di Balairong Seri Istana Melaka. Ya....satu rancangan di atur.

Dan kini kaki Tun Tuah berada di pinggir Jalan Penarikan, jalan yang digunakan kebanyakan pedagang yang memilih jalan darat berulang alik dari Melaka ke Pahang. Dia berharap benar peluang ini dapat mengembalikan maruahnya, jalan itu terbentang luas dihadapan..


Monday, May 13, 2013

Siti Aminah Tanah Mahsyur

Makam Siti Jalang,
Kampung Tembioh, Kota Tinggi
 
Pelakon dan pengarah terkenal tanahair kita Sabri Yunus pernah memenangi gelaran Pengarah Terbaik untuk drama arahan sulungnya yang juga memenangi Drama Terbaik untuk drama Sanggul Beracun berberapa tahun lepas. Pernah anda menontonnya? Telefilem yang dibintangi oleh pelakon Erra Fazira dan Namron itu tahukah anda sebenarnya diangkat dari sebuah lagenda yang cukup terkenal di Johor terutamanya di Kota Tinggi, dikenali sebagai Siti Aminah Tanah Mahsyur atau pun Lagenda Siti Jalang.
 
Cerita yang dikatakan berlaku abad ke 17, kira-kira 200 tahun selepas kejadian Sultan Mahmud Mangkat Dijulang dikatakan berlaku di Kampung Tembioh di Kota Tinggi. Sebagai tanda jika kita ke kampung ini terdapat makam yang dikatakan Makam Siti Aminah atau juga dikenali sebagai Siti Jalang. Tentunya kita tertanya-tanya mengapa allahyarham dipanggil sedemikian?
 
Mengikut ceritanya Siti Aminah ini berasal dari Kelantan dan sejak kecil telah menjadi anak angkat sebuah keluarga bangsawan Bugis di Kota Tinggi. Cik Siti Aminah ini dikatakan terlalu cantik paras rupanya menjadi sebutan di daerah ini dan kerana itu beliau menjadi rebutan ramai. Kerana risaukan keselamatan anak gadis ini, keluarga Bugis ini telah mewariskan satu ilmu pendinding kepadanya sebagai tujuan menjaga kesucian gadis ini dari di aniaya lelaki-lelaki yang tidak bertanggungjawab.
 
Sehinggalah Cik Siti Aminah meningkat dewasa, beliau telah dipinang oleh seorang lelaki yang juga dari golongan orang berada. Majlis perkahwinan berlangsung penuh meriah sehinggalah pada malam pertama pasangan pengantin tersebut menjadi porak peranda apabila Cik Siti Aminah telah diceraikan. Ini kerana pengantin lelaki sewaktu pada saat beliau bersedia untuk menikmati malam pertamanya, beliau gagal menemui pertanda yang Cik Siti Aminah adalah seorang perempuan!
 
Namun itu tidak mencacatkan keinginan lelaki-lelaki lain untuk memiliki Cik Siti Aminah dan ini membawa perkahwinan keduanya. Namun bala masih mengundang, perkara yang sama berlaku pada malam perkahwinannya apabila dia diceraikan pada keesokan hari perkahwinannya. Ini berlarutan untuk berberapa tahun selepasnya sehingga dikatakan Cik Siti Aminah mempunyai 99 orang suami. Sehinggalah suaminya yang ke 100, dikatakan seorang yang warak dan punya pegangan agama yang kukuh serta mempunya ilmu kebatinan yang tinggi dapat membuka ilmu kunci nafsu yang diwarisi Cik Siti Aminah dari keluarga angkatnya, dan dengan suaminya yang terakhir inilah perkahwinannya kekal ke akhir hayat. Namun Cik Siti Aminah pada saat ini telah pun berumur maka mereka tidak mempunyai sebarang waris dan disaat akhir hayatnya Cik Siti Aminah mewasiatkan apabila beliau meninggal dunia agar jenazahnya dikebumikan jauh dari kawasan perkuburan penduduk kampung yang lain kerana akibat dari perkahwinannya yang mencatatkan jumlah sebanyak seratus kali itu penduduk Kota tinggi menggelarkannya dengan panggilan Siti Jalang.
 
Namun terdapat satu lagi versi mengenai lagenda ini mengatakan Cik Siti Aminah ini apabila ada lelaki yang masuk meminangnya, beliau mengenakan hantaran sebuah keranda dan sekayu kain putih untuk persediaan pengkebumian suaminya pada keesokan harinya kerana dikatakan Cik Siti Aminah memelihara kala jengking di anggota sulitnya maka suaminya akan mati. Sejauh mana kebenaran cerita ini hanyalah tinggal lagenda yang terkenal hingga ke hari ini sehingga diangkat menjadi telefilem yang sangat menarik. Demikianlah diceritakan orang....

Wednesday, April 11, 2012

Puteri Saadong

~Bahagian Tiga~
Sebaik sahaja Puteri Saadong menawarkan diri untuk dimiliki oleh Raja Siam, serangan keatas Kota Mahligai dihentikan serta merta...masakan tidak hajat dan tujuan yang terpendam dan impian yang disangka telah terkubur kini termakbul. Sebuah angkatan besar ditubuhkan seakan sebuah angkatan perkahwinan, bersertakan gajah kenaikan besar membawa Puteri Saadong meninggalkan tanah Kelantan menuju pulang ke Siam. Diatas gajah itu Puteri saadong melemparkan pandangan kearah tanah tercinta demi korban serta kasih sayang terhadap rakyat jelata dan tentu khususnya kepada suami yang amat dicintainya, Raja Abdullah. Namun sumpah dan janjinya pemergiannya ke Siam bukanlah untuk selamanya tetapi baginda tetap akan kembali...itu janjinya.
Di Siam, setiap saat dan masa Puteri Saadong bermohon kepada Tuhan Yang Maha Esa agar dipeliharakan dirinya dari nafsu serakah Raja Siam yang tidak putus harap dan sentiasa mencari jalan untuk meraikan kejayaan menawan "kemenangannya" di Kota Mahligai. Kesuciannya hanya untuk dinikmati suami tercinta yang telah ditinggal jauh di Kelantan tetapi tanpa penat dan serik Raja Siam tetap cuba utnuk merampasnya dari Puteri Saadong.
Dan hinggalah pada satu peristiwa, nekad Raja Siam yang durjana itu membawa padah pada diri sendiri. Berkat ilmu yang diperturunkan serta diwarisi dari paduka bonda yang tercinta Almarhum Chik Siti Wan Kembang dan juga berkat doa yang tak putus jemu dipanjatkan kepada Allah Azzawajala, sewaktu Raja Siam sedang cuba meniduri puteri jelita itu, serta merta Raja Siam diserang penyakit sopak dan gatal-gatal yang melampau hingga menyebabkan kulitnya berdarah dan bernanah. Serta merta Raja itu meninggalkan kamar tempat baginda menawan Puteri Saadong.
Keadaan berlanjutan hingga Raja Siam itu terpaksa membawa perkara itu kepda nujum istana yang mana nujum telah membawa kesimpulan yang amat sukar untuk diterima. Kerana Daulat yang kukuh terpelihara pada diri Puteri Saadong, mengakibatkan punca penyakit yang sedang galak mengembang di badan Raja Siam itu. Hanya satu cara sahaja yang dapat menghentikan bencana itu iaitu dapatkan air basuhan kaki puteri itu dan ia akan menjada penawar pada racun yang sedang merebak.
Kepastian itu amat sukar untuk ditelan oleh Raja Siam, namun keadaan dirinya yang sangat darurat hinggakan baginda berasa malu untuk keluar menjalankan urusan negara akhirnya terpaksa menerima hakikat dia terpaksa menunduk kalah pada tawanannya. Pujuk demi pujuk, rayu demi rayu akhirnya Puteri Saadong akur tapi dengan bersyarat. Tinggalnya di Siam akan tamat setelah dia menyerahkan air basuhan kaki tersebut dan Puteri Saadong minta agar dihantar pulang ke Kota Mahligai, demi baginda terlalu rindukan tanah tempat tumpah darahnya dan yang paling penting mengotakan janji pada suami tercinta Raja Abdullah yang telah ditinggalkan setelah sekian lama.
Janji dikota dan Puteri saadong dihantar pulang ke Kota Mahligai. Tiada yang dirasa oleh puteri itu selain rasa syukur yang tinggi dan peluang untuk baginda melepaskan rindu nan membuak bakal termakbul. Impian untuk mengotakan janji kepada Raja Abdullah bukan lagi sekadar mimpi yang menghantui tidurnya setiap malam selama baginda terseksa di Siam. Namun siapalah kita manusia yang serba lemah jika dibandingkan dengan takdir Tuhan yang telah tertulis....
Bayangkan rasa yang bercambah dihati seandainya kepulangan yang sepatutnya diraikan dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran oleh sang suami, sebaliknya melihat suami yang dirindui telah mengambil langkah untuk berpaling dari janji. Patah hati Puteri Saadong melihat Raja Abdullah berada diatas singgahsana bersama isteri baru, Puteri Rokiah anak kepada Penghulu Ngah Jembal. Berlaku pertengkaran yang dasyat antara suami isteri itu dan akibat dari gagal menahan rasa amarah dan cemburu lantaran rasa diri dikhianati, Puteri Saadong mencabut pacak sanggul emas lantas menusuk ke perut suaminya. Lantas Raja Abdullah terjelepok jatuh di kaki tangga singgahsana kaku tidak bernyawa. Puteri Saadong lantas sedar dari lamunan rasa amarahnya namun apakan daya, perkara yang telah berlaku tidak lagi boleh ditarik balik.
Menyesali dan bertaubat atas ketelanjurannya, Puteri Saadong telah turun dari takhta kerajaan Kota Mahligai dan menyerahkannya kepada adinda kepada Almarhum Raja Abdullah, Raja Abdul Karim. Sementelah itu Puteri Saadong telah membawa diri meninggalkan Kota Mahligai dan menuju kearah Gunung Chinta Wangsa tempat persemayaman almarhum bondanya untuk mengasingkan diri dan menyerahkan diri kepada Allah Yang Maha Kuasa. Dan semenjak dari itu tiadalah lagi khabar diketahui tentang puteri jelita yang pernah menggugat keagungan kuasa seorang Raja dan juga yang amat dicintai oleh hambanya...Demikianlah diceritakan orang....

Sunday, October 3, 2010

Puteri Saadong

~Bahagian Dua~


Maka, berlangsunglah istiadat perkahwinan Puteri Saadong dan Raja Abdullah di Gunung Chinta Wangsa dengan penuh kemeriahan dan temasya yang berlangsung berpuluh-puluh hari lamanya. Kemeriahan itu disambut indah dan penuh takzim oleh sekelian rakyat jelata yang merupakan satu anugerah yang penuh rahmat bagi seluruh Kerajaan Tanah Serendah Sekebun Bunga serta juga Kerajaan Jembal. Semua hamba rakyat juga dapat melihat akan Puteri Saadong yang bakal mewarisi pemerintahan bondanya, Chik Siti Wan Kembang menjadi seorang pemerintah yang adil dan saksama dan moga Kerajaan Tanah Serendah Sekebun Bunga terus kekal sebagai sebuah kerajaan yang agung, aman dan sentosa. Namun itu hanyalah satu tanggapan...sesungguhnya mereka terlupa tentang seseorang yang sedang memendam perasaan....

Setelah berberapa ketika selepas perkahwinan antara Puteri Saadong dan Raja Abdullah, Paduka Chik Siti mengambil keputusan untuk terus menyerahkan takhta yang sekelian lamanya baginda duduki, diambil alih oleh puteri kesayangannya itu. Setelah selesai istiadat pertabalan Puteri Saadong dan Raja Abdullah sebagai pemerintah Kerajaan Tanah Serendah Sekebun Bunga yang baru, baginda berdua berpendapat untuk membuka pusat pemerintahan yang baru dan mereka melihat sebuah tempat yang terletak di hilir negeri Kelantan sebuah tempat yang sesuai. Dan kota yang baru ini dinamakan Kota Jelasin, namun bagi Paduka Chik Siti, baginda mahu terus menetap di Gunung Chinta Wangsa kerana baginya, disitulah tempat yang lebih sesuai bagi dirinya. Disini baginda mahu mengasingkan diri, mengambil peluang ini untuk mendekatkan diri dengan amal ibadat kepada Allah Taala. Dan disinilah, Paduka Chik Siti yang ketika itu telah menjangkau usia senjanya, telah jatuh gering dan setelah berberapa lama, Paduka Chik Siti pun mangkat, menjadi satu berita yang amat menyedihkan bagi seluruh negeri Kelantan: sesungguhnya mereka kehilangan seorang pemerintah yang sangat sukar untuk dicari ganti. Dikatakan baginda telah dimakamkan di Kampung Banggol yang terletak tidak jauh dari Kota Bahru, ibu negeri Kelantan sekarang.

Maka pemerintahan Puteri Saadong pun bermula dan baginda memang seorang pemerintah yang seperti yang diharapkan oleh sekelian rakyat Kelantan. Dengan sebolehnya, baginda meneruskan sifat dan ciri almarhum bondanya, Paduka Chik Siti; seorang pemerintah yang adil dan saksama. Namun, keamanan itu bakal berakhir tidak lama lagi...

Raja Siam yang pernah kecewa akibat gagal memiliki Puteri Saadong, kini amat murka apabila menerima khabar bahawa puteri idamannya itu kini dimiliki oleh Raja Abdullah. Dan kemarahan itu tidak berakhir disitu. Raja Siam telah membentuk sebuah angkatan tentera yang besar untuk menyerang negeri Kelantan dan satu tujuan yang nyata, iaitu memiliki Puteri Saadong! Padanya, puteri itu hanya layak untuk dimiliki olehnya, bukan lelaki lain. Berita akan serangan yang bakal berlaku itu sampai ke pengetahuan Raja Abdullah dan baginda mengambil keputusan untuk meninggalkan Kota Jelasin dan menuju ke daerah Melor dan disini baginda membuka penempatan yang baru dinamakan Kota Mahligai. Namun, apalah kudrat itu jika dibandingkan dengan keupayaan tentera Raja Siam yang besar dan terkenal dengan kehandalannya. Tindak tanduk Raja Abdullah dapat dihidu oleh Raja Siam dan Kota Mahligai telah diserang dengan dasyat. Kemusnahan dan kehancuran merebak dengan meluas, kematian berlaku dimana-mana.

Puteri Saadong yang melihat akan kehancuran kerajaannya itu berasa amat kecewa, tambahan pula baginda merasakan dirinya seaakan gagal untuk menjaga amanat dari paduka bondanya, Paduka Chik Siti. Baginda mahu melihat kemusnahan ini berhenti serta merta dan tidak mahu, kerana dirinya, Kerajaan tanah Serendah Sekebun Bunga yang menanggung akibat. Baginda tahu, satu keputusan segera perlu dibuat, meskipun itu bakal mengorbankan dirinya.

Biarlah dirinya dimiliki oleh Raja Siam, asalkan rakyat jelata tidak terus menerima akibat! Raja Abdullah amat kecewa dengan keputusan isterinya tetapi baginda juga sedar, itu adalah demi masa depan kerajaan dan rakyat jelata. Niat Raja Siam menyerang Kelantan cuma satu, iaitu memiliki Puteri Saadong, jadi, dari terus menerima azab, biarkanlah Raja Siam itu mendapat apa yang dihajatinya. Tapi sumpah dan janji Puteri Saadong pada suaminya, Raja Abdullah, walau apa pun, Raja Siam itu hanya mampu memiliki tubuhnya, tapi tidak cinta dan hatinya. Dan demi itu juga, Puteri Saadong juga berjanji, pada suatu hari nanti, Puteri Saadong akan tetap kembali kepada Raja Abdullah. Meskipun berat bagi Raja Abdullah, itulah satu-satunya jalan yang terbaik....

Sunday, September 26, 2010

Puteri Saadong

Gunung Chinta Wangsa yang kini dikenali sebagai
Gunung Ayam


~Bahagian Satu~

Berapa ramai antara kita yang mengetahui akan nama lama bagi negeri Kelantan Darul Naim? Pernahkah anda mendengar Kerajaan Tanah Serendah Sekebun Bunga Cerang Tegayong? Nama yang menggambarkan akan sebuah kerajaan yang terlalu indah, dikelilingi gunung dan banjaran, serta kawasan lembah yang dipenuhi bunga-bungaan yang pelbagai bentuk dan rupa. Cerang Tegayong pula memberi makna cahaya yang menyimbahi di celahan dedauan pohon tegayong. Begitulah keindahan yang digambarkan melalui nama lama itu
Demikianlah juga akan gambaran pemerintahnya, Chik Siti Wan Kembang, juga dikenali juga Paduka Chik Siti. Satu satunya Raja Perempuan yang sangat dikenali demi kewibawaan baginda, keadilan yang menjadi teras pemerintahannya, kebijaksaan serta keperwiraan baginda walaupun baginda adalah seorang wanita, menjadikan nama Paduka Chik Siti begitu gah dan melata tersebar akan kisahnya di serata rantau Nusantara, dan kerajaannya yang berpusat di Gunung Chinta Wangsa dipenuhi rakyat jelata yang tidak terkira banyaknya. Berikut kerana itu, terdapat cerita orang, pedagang-pedagang yang datang berdagang ke Kelantan, enggan untuk meninggalkan negeri itu, hingga sanggup menenggelamkan kapal masing-masing untuk dijadikan alasan supaya dapat terus kekal di Kelantan. Demikianlah diceritakan orang....


Tersebut pula akan sebuah kerajaan yang berjiran dengan Tanah Serendah Sekebun Bunga itu, bernama Jembal, terletak di bahagian timur lautnya. Yang mana pada ketika itu dalam tahun 1638 Masehi, Raja Besar telah menyerahkan takhta kepada anakandanya, Raja Sakti dan Raja Sakti dikurniakan tujuh orang putera-puteri, iaitu Raja Adiluddin (yang lebih dikenali dengan nama Raja Loyar), Raja Bahar (Raja Udang), Raja Omar (Raja Ekok), Raja Sungai, Puteri Sayu Bari, Puteri Unang Melor (nama timang-timangannya Nang Rogayah) dan Puteri Cempaka Bongsu. Mengikut buku Abdullah Nakula, Raja Sakti terkenal dengan panggilan Raja Vijaya Indera atau Long Betong.


Setelah Raja Sakti merasa dirinya sudah tua dan putera-puteri baginda meningkat dewasa Raja Sakti telah menyerahkan pentadbiran negeri kepada mereka semua. Pada tahun 1649 M, Raja Loyar ditabalkan sebagai raja yang memerintah kerajaan Jembal. Raja Bahar dilantik sebagai Bendahara, Raja Omar sebagai Raja Muda dan Raja Sungai sebagai Raja Temenggung. Setelah menyerah semua pemerintahan Kerajaan Jembal, maka baginda Raja Sakti pun mengadakan "Istiadat Bersiram" di pinggir Sungai Babong, yang mana keramaiannya berlangsung selama 7 hari 7 malam, setelah sampai malam ke-7 maka baginda Raja Sakti dan Puteri Mani Kemeyan pun "ghaib" dan tidak diketahui riwayatnya sehingga hari ini. Raja Loyar sangat dikasihi oleh semua lapisan rakyat jelata dan para pembesar negeri. Sikap baginda sangat luar biasa, lemah lembut, halus tutur kata dan bersopan santun. Mengikut kepercayaan, pada diri baginda terdapat sifat-sifat ganjil yang kononnya baginda berdarah putih, tulang tunggal, bulu roma songsang, lelangit hitam, lidah fasih dan air liur masin. Pendek kata apa yang dihajati semuanya dapat kerana baginda adalah seorang yang "keramat".


Hubungan baik terjalin antara kerajaan Jembal dan Kelantan sementelah Kelantan sebuah kerajaan yang gagah perkasa. Perutusan senantiasa bertukar tangan demi perhubungan yang baik itu hinggalah dibawah pemerintahan Raja Loyar yang menggantikan ayahandanya. Raja Loyar telah dikurniakan dua cahaya mata yang mana, seorang lelaki dinamakan Raja Sakti, demi mengenangkan nendanya tapi malang telah mangkat ketika masih kecil, dan kedua pula seorang perempuan dinamakan Puteri Mariam, yang mana lebih dikenali sebagai Puteri Saadong. Paduka Chik Siti yang amat tertarik dengan perilaku dan rupa Puteri Saadong itu telah berhasrat untuk mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkatnya dan juga bakal pewaris takhta, kerana Paduka Chik Siti itu tidaklah bersuami dan tidak mempunyai sebarang anak . Hasrat itu disuarakan kepada Raja Loyar dan seakan seribu rahmat, hajat Paduka Chik Siti diperkenankan oleh Raja Loyar. Puteri Saadong dan Paduka Chik Siti pun berangkat pulang ke Gunung Chinta Wangsa dan bersemayam disana. Sebagai tanda kasih sayang seorang ibu, Paduka Chik Siti memerintahkan para pembesar dan hulubalang mendapatkan dua ekor kijang untuk dijadikan belaan dan teman permainan Puteri Saadong dan dari situlah menjadi lambang pada jata negeri Kelantan yang kekal hingga ke hari ini.


Puteri Saadong membesar, dididik dan diasuh dengan penuh limpahan kasih sayang dari bondanya dan sebagai bakal pewaris takhta. Selain dari itu kejelitaan rupa paras membawa kepadanya gelaran Puteri Wijaya Mala dan kerana itu jugalah nama Puteri Saadong sangat-sangat terkenal, seperti bondanya, Paduka Chik Siti. Kecantikan Puteri Saadong ini termasyhur ke seluruh negeri sehingga sampai ke pengetahuan Maharaja Siam iaitu Raja Prasat Thong yang memerintah di Ayudhia. Baginda telah menghantar utusan ke Jembal untuk meminang Puteri Saadong. Setelah Raja Loyar berbincang dengan Paduka Chik Siti, maka pinangan Raja Siam itu telah ditolak. Setelah rombongan Siam itu kembali, baginda Raja Loyar dan Cik Siti Wan Kembang berserta pembesar-pembesar telah bermesyuarat untuk mengahwinkan Puteri Saadong dengan sepupunya Raja Abdullah iaitu anakanda Raja Bahar.

Sunday, July 11, 2010

Radin Mas

~Bahagian 3~
Setelah berberapa lama, pusat pemerintahan Kesultanan Kerimun berpindah ke Singapura dan istana diraja terletak di Teluk Belangah. Sekelian kerabat diraja berangkat ke Singapura dan menetap disana. Keadaan yang diharapkan untuk bertambah elok diantara ahli keluarga diraja Kerimun sebenarnya tinggal harapan sementelah rasa cemburu yang semakin membara dihati Tengku Halijah, melihatkan keakraban antara Pangeran Agung dan Radin Mas. Tengku Halijah jauh sekali melihatkan Radin Mas sebagai anak yang berhak menerima kasih sayangnya sebaliknya tidak lebih dari seorang musuh yang perlu dimusnahkan segera! Ketiadaan Pangeran Agung yang sentiasa menerima titah Baginda Sultan menjadi peluang untuk Tengku Halijah menyeksa Radin Mas, melakukan kerja-kerja berat di istana, sama seperti hamba abdi. Sedarlah bagi Radin Mas, apa yang diharapkan olehnya untuk mendapat kasih sayang seorang ibu, tidak akan berlaku dan impian cuma akan tinggal impian. Namun bagi Radin Mas, kasih sayangnya pada Pangeran Agung itu lebih utama, dan sebarang apa yang dilakukan oleh Tengku Halijah padanya dipendamkan jauh disudut hati, kerana dia tahu, jika dikhabarkan pada Pangeran Agung akan melukakan hati ayahandanya yang telah terlalu lama hidup menderita sebelum ini. Seksaan demi seksaan bertambah apabila Tengku Bagus, adinda lelaki Tengku Halijah mengambil kesempatan mengganggunya.
Keadaan didalam keluarga diraja ini bertambah tegang apabila suatu hari Pangeran Agung pulang secara mengejut dari perantauan dan terkejut melihat keadaan yang sebenarnya. Dengan itu, Pangeran Agung naik berang dan marah apabila menyedari yang selama ini Tengku Halijah tidak lain hanyalah menyeksa Radin Mas. Pangeran Agung seperti orang yang hilang akal lantas mencabut keris yang tersisip dipinggang dengan niat hendak menikam Tengku Halijah. Dalam keadaan yang gawat itu, Tengku Chik yang masih kecil menerpa ke depan untuk menghalang Pengeran Agung lantas terluka tangannya akibat terkena keris Pangeran Agung. Tengku Halijah yang melihatkan akan tangan Tengku Chik yang terluka, lantas mengadu kepada Baginda Sultan mengatakan yang Pangeran Agung sudah hilang akalnya kerana sanggup melukakan anaknya sendiri. Baginda Sultan Kerimun terpaksa mengambil keputusan yang maha berat, menangkap Pangeran Agung dan atas alasan demi keselamatan kaum kerabat diraja yang lain, Sultan Kerimun mengurung Pangeran Agung didalam sebuah perigi buta yang tersembunyi dibelakang istana. Dan baginda juga menitahkan tindakannya itu dirahsiakan dari pengetahuan Radin Mas. Keadaan ini menjadikan Radin Mas berasa amat tertekan akibat dari sekasaan oleh ibu tirinya dan kehilangan ayahnya yang tidak diketahui hujung pangkalnya.
Tengku Halijah pula berpendapat bagi mengelakkan rahsia hitam itu terbongkar dikalangan rakyat jelata, ada eloknya Radin Mas dikahwinkan dengan Tengku Bagus, dengan ini segala tindakan dan perilaku Radin Mas akan mudah dikawal. Dan saranannya itu mendapat restu dari Baginda Sultan Kerimun. Betapa gundah dan sedih bagi Radin Mas. Dia hanya mampu untuk menerima keputusan itu memandangkan dirinya yang yatim piatu, tidak berhak untuk membela dirinya sendiri, sementelah kehilangan Pangeran Agung, satu-satunya tempat dirinya mengadu untung nasib dirinya.
Segala persiapan perkahwinan Radin Mas dan Tengku Bagus dilangsungkan. Keadaan di istana Teluk Belangah meriah tapi bagi Radin Mas, ini semua membuatkan lara hatinya bertambah-tambah. Sudah banyak kali dia cuba merayu dari Tengku Halijah dan Baginda Sultan agar diberitahu kemana hilangnya Pangeran Agung, ayahnya yang sangat dikasihi tetapi tidak diendahkan oleh Tengku Halijah dan Baginda Sultan. Namun, kemana hilangnya Pangeran Agung, dalam diam diketahui oleh Tengku Chik yang pada suatu hari bermain gasing dihalaman istana dan gasing tersebut memasuki pagar perigi buta tempat kurungan Pangeran Agung.
Maka, tibalah hari perkahwinan Radin Mas dan Tengku Bagus. Orang ramai memenuhi ruang istana dan ianya sungguh meriah dengan segala acara dan persembahan. Tatkala orang ramai sedang bersuka-sukaan dengan temasya yang berlangsung, Radin Mas hanya mampu menangisi akan nasib dirinya. Sedang dirinya disiapkan, didandan seperti seorang pengantin diraja, air matanya mengalir terus mengenangkan kehilangan Pangeran Agung entah kemana.
Dan suasana ini bakal menjadi bertambah gawat apabila Dandiar dan gerombolan pengikutnya tiba diistana Teluk Belangah apabila mendengarkan akan berita tentang pernikahan Radin Mas dan Tengku Bagus. Sangkaannya, ini tentulah hari yang bahagia bagi Pangeran Agung dan Radin Mas tetapi sebaik langkahnya menjejaki ke balai penghadapan istana, Dandiar menjadi berang apabila mengetahui Pangeran Agung tidak ada disitu. Masakan, pada hari perkahwinan Radin Mas, Pangeran Agung tidak menghadirkan diri dan ini pada sangkaan Dandiar ada sesuatu yang tidak kena. Ini terbukti apabila khadi yang bakal menikahkan Radin Mas bertanyakan akan wali bagi Radin Mas. Dandiar mula mengamuk dan mengugut untuk menghuru harakan istana teluk Belangah.
Tengku Chik yang melihat keadaan yang amat genting itu terus tampil kedepan dan memberitahu Dandiar akan dimanakah Pangeran Agung disembunyikan. Lantas Dandiar menitahkan pahlawan-pahlawan pengikutnya membawa keluar Pangeran Agung dari kurungan dan terperanjat melihatkan keadaan Pangeran Agung yang amat lemah seakan seperti tidak langsung diberi makan. Radin Mas menerpa kearah Pangeran Agung yang dipapah masuk ke balai penghadapan lantas memeluk dan mencium ayahnya yang sangat dirinduinya itu. Terlalu sedih akan dirinya melihat keadaan Pangeran Agung yang sudah amat lemah dan tidak bermaya itu.
Tengku Halijah yang melihat keadaan itu lantas bertindak hendak meninggalkan balai penghadapan namun Radin Mas menerpa kearah Tengku Halijah yang pada ketika itu sudah sampai ke muka tangga istana, menyembah dan merayu agar Tengku Halijah memohon ampun dari Pangeran Agung, memandangkan Pangeran Agung sudah amat nazak. Tapi, Tengku Halijah menolak Radin Mas lantas menyebabkan Radin Mas rebah di kaki tangga menyebabkan tertikam pacak sanggul yang terdapat dikepalanya! Namun itu tidak menghalang Tengku Halijah dari meneruskan niatnya tetapi dengan kuasa Allah Yang Maha Kuasa, sebaik kakinya mencecah tanah dihalaman istana, petir yang muncul tiba-tiba lantas memanah Tengku Halijah dan Tengku Halijah mangkat serta-merta. Sebaik sahaja berlaku kejadian itu, Pangeran Agung juga menghembuskan nafas yang terakhir di pangkuan Dandiar. Dandiar mula mengamuk, mengarahkan agar pengikutnya menyerang istana namun Tengku Bagus tampil kedepan untuk menentang akan tindakan Dandiar.
Tapi ternyata kudrat Tengku Bagus tidak setanding Dandiar seorang pahlawan terbilang dan gagah perkasa. Setelah berjaya membunuh Tengku Bagus, Dandiar mengambil keputusan untuk membunuh Baginda Sultan pula tetapi Tengku Chik terus menghalang akan Dandiar dan berkata, jika nendanya, Baginda Sultan dibunuh, kepada siapakah harus dia mengikut sementelah ayahandanya, Pangeran Agung dan bondanya Tengku Halijah telah pun mangkat, begitu juga dengan Radin Mas. Dandiar lantas diburu rasa simpati yang teramat sangat dan bersalah, dan juga mengenangkan Tengku Chik juga adalah zuriat keturunan Pangeran Agung, maka Dandiar memaksa Baginda Sultan untuk berjanji menjaga Tengku Chik sebaik-baik, serta juga berjanji untuk menjadikan Tengku Chik sebagai pewaris takhta. Dan Dandiar juga memaksa Baginda Sultan mengkebumikan Pangeran Agung serta Radin Mas, mengikut adat istiadat diraja. Maka dengan itu , Radin Mas dimakamkan secara besar-besaran disebuah tempat tidak jauh dari istana Teluk Belangah yang makamnya terus kekal hingga ke hari ini.
Demikianlah kisah sebuah pengorbanan kasih sayang seorang anak kepada ayahnya dan juga sebaliknya. Kasih ikhlas yang diuji pelbagai musibah dan petaka tapi terus kekal utuh hingga ke hari-hari terakhir mereka berdua, Pangeran Agung dan Radin Mas.

Friday, June 18, 2010

Radin Mas


~ Bahagian 2 ~
Kediri ditinggalkan jauh, jauh dari diri Pangeran Agung serta juga jauh dari hatinya. Apa yang berlaku keatas dirinya serta apa yang menimpa keluarganya, adalah sesuatu bala yang amat berat dan peritnya tidak tertanggung. Jadi, pada fikiran Pangeran Agung, jalan terbaik untuk menghilangkan rasa kecewa dan lara hatinya adalah dengan meninggalkan Kediri, tempat yang padanya tidak adalah neraka. Walau bagaimana sekali pun Dandiar, sahabat baiknya cuba menasihati Pangeran Agung, namun Pangeran Agung tetap berkeras untuk meninggalkan Kediri. Kemana hala tujunya masih belum tahu.

Bersama Radin Mas yang masih kecil, Pangeran Agung menumpang sebuah kapal pedagang cina yang mana membawanya terus hingga ke Karimun, sebuah pulau yang berada dalam gugusan Kepulauan Riau, yang pada ketika itu berada dalam pemerintahan Empayar Johor Riau Lingga. Dan pada fikiran Pangeran Agung adalah baiknya jika kelak apabila Radin Mas besar nanti, dia tidak mengetahui akan asal usulnya, siapakah dia dan dari manakah asalnya. Elok lagi kalau Radin Mas tidak mengetahui yang dirinya berasal dari keturunan raja berdaulat kerana pada Pangeran Agung, kerana darah keturunan itulah, keluarganya hancur dan binasa. Biarlah mereka dua beranak mengasingkan diri disini dan untuk berapa lama mereka akan berada di Karimun? Tuhan saja yang Maha Mengetahui, dan biarlah Dia sahaja yang menentukan.

Hari berganti bulan, dan bulan berganti tahun. Hiduplah Pangeran Agung sebagai seorang nelayan biasa, kais pagi makan pagi, dan kais petang makannya petang. Bersama anaknya yang tercinta Radin Mas yang kini sudah pun berusia 15 tahun. Dia menjadi seorang gadis sunti yang cantik jelita, seakan-akan ibunya Mas Ayu. Radin Mas cukup manja dengan ayahnya sementelah, Radin Mas tidak pernah merasai kasih sayangnya seorang ibu. Namun keadaan hidup mereka yang sederhana, pada tanggapan Pangeran Agung amatlah tenang dan tenteram, jauh dari segala hasad dengki dan penganiayaan sebagaimana yang berlaku keatas mereka 15 tahun yang lalu.

Namun takdir mempunyai rancangan lain bagi Pangeran Agung dan Radin Mas yang bakal membawa mereka kembali kepada kehidupan yang telah mereka tinggalkan. Dan juga bakal menguji akan nilai kasih sayang antara ayah dan anak ini. Pada suatu hari, ketika Pangeran Agung telah pun pun ke laut untuk menangkap ikan, sementara Radin Mas megambil keputusan untuk memetik sedikit buah-buahan, boleh juga dibuat makanan tambahan bagi mereka berdua. Dan tanpa disedarinya, kakinya melangkah masuk ke dalam kawasan yang sepatutnya tidak dia jejaki. Kawasan itu adalah taman larangan istana Sultan Karimun dimana tidak jauh dari tempat Radin Mas berada, puteri kepada Sultan Karimun, Tengku Halijah sedang bermain-main dengan dayang-dayang pengiringnya. Melihatkan seorang gadis yang berpakaian lusuh sedang seorang diri memetik buah-buahan di taman itu, Tengku Halijah naik berang. Tercemar sudah akan keadaan taman tersebut dengan kehadiran gadis itu, pada fikirannya. Tanpa berfikir panjang, Tengku Halijah memanggil adinda lelakinya, Tengku Bagus serta berberapa orang pengawal menangkap Radin Mas! Radin Mas yang terpinga-pinga hanya dapat membatukan diri amat ketakutan dan terpaksa membiarkan lelaki-lelaki itu mengheret dirinya ke arah Tengku Halijah. Dan tanpa memberi peluang untuk Radin Mas membela diri diatas kesalahan yang tidak disedarinya itu, Radin Mas dipukul oleh Tengku Halijah bertalu-talu, hanya yang mampu dilakukan oleh Radin Mas, menangis dan merayu agar mereka berhenti dari memukulnya.

Namun kejadian yang kejam itu disaksikan oleh seseorang dari arah pantai, dimana seorang lelaki berpakaian seorang pahlawan serta pengiringnya yang baru melabuhkan perahunya di pantai. Lantas setelah mengamati akan seorang gadis lemah sedang diseksa, lelaki itu-Dandiar menghampiri dan lantas dengan lantang mengarahkan akan diberhentikan akan kekejaman itu. Dandiar amat berang dengan apa yang berlaku dihadapan mata, tambahan pula yang melakukannya adalah orang-orang dari kerabat diraja, Dandiar mengambil keputusan untuk membawa perkara itu kepada Sultan Karimun.


Suasana di balai penghadapan istana Karimun menjadi tegang apabila Dandiar menuntut agar keadilan dapat dibela terhadap apa yang berlaku keatas gadis lemah itu. Namun, Dandiar terdiam sebaik muncul seorang lelaki diistana yang mengaku dia adalah ayah kepada gadis yang dianiaya itu. Seorang lelaki yang amat dikenalinya, yang dicari-carinya sejak 15 tahun yang lalu namun sebaik sahaja pandangan mata mereka bertaut lelaki itu memalingkan wajah. Lantas Dandiar meluru ke kaki lelaki itu-Pangeran Agung dan menyembahnya penuh takzim, sambil bercucuran air mata. Sultan Karimun yang menyaksikan kejadian itu didepan mata, terperanjat. Baginda yang tahu tentang kisah seorang putera Kediri yang menghilangkan diri dan kini putera yang diceritakan orang itu berada dihadapannya dengan keadaan lusuh dan tidak terurus. Diburu rasa bersalah dan malu dengan tindakan anakandanya, Tengku Halijah terhadap Radin Mas, lantas baginda mengambil keputusan untuk menebus akan kesalahan itu. Tengku Halijah sebagai tukarannya, menjadi ditawarkan isteri kepada Pangeran Agung!

Pangeran Agung mendiamkan diri. Nampaknya kehidupan sebagai kerabat diraja, yang telah ditinggalkan 15 tahun masih lagi memburunya dan menuntutnya kembali. Tapi apa yang terbayang didepan matanya hanyalah anaknya yang amat dikasihi, Radin Mas. Sebaliknya Radin Mas meminta agar ayahnya menerima akan Tengku Halijah, mengenangkan Pangeran Agung telah lama hidup tanpa isteri dan dirinya sendiri yang melihat peluang itu untuk merasai kasihnya seorang ibu. Mendengarkan akan permintaan anaknya itu, namun dengan berat hati, Pangeran Agung menerima pelawaan Sultan Karimun. Dandiar berpuas hati dengan pelawaan Sultan Karimun dan meminta baginda berjanji untuk menjaga akan Pangeran Agung dan Radin Mas yang amat disanjunginya itu, tambahan pula Dandiar bakal meninggalkan Pulau Karimun.

Janji hanya tinggal janji. Setelah berberapa lama selepas perkahwinan antara Pangeran Agung dan Tengku Halijah, lahirlah seorang bayi lelaki menjadi tanda penyatuan antara mereka berdua dan bayi itu dipanggil Tengku Chik. Tapi, bagi Pangeran Agung, Radin Mas lebih disayangi kerana mengenangkan apa yang terjadi keatas mereka berdua dulu dan Radi Maslah yang satu-satunya tanda cintanya yang masih ada, antara dirinya dan Mas Ayu. Malah, mengatasi akan isterinya sendiri Tengku Halijah. Dan ini, membuahkan cemburu yang membara dihati Tengku Halijah, sebagai seorang isteri yang sepatutnya mendapat perhatian yang sepatutnya dari suami, tapi tidak bagi Pangeran Agung. Dan cemburu ini berubah menjadi racun yang berbisa!